KUALA LUMPUR: Kerajaan akan sentiasa memantau tindakan Australia dan Belanda yang memulakan proses undang-undang terhadap Rusia kerana menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk menyokong tindakan tersebut sekiranya ia membantu negara mencari keadilan dalam insiden MH17.

Begitupun, jelas beliau, sokongan itu adalah atas prinsip keadilan, bukan berlandaskan pertimbangan geopolitik atau krisis yang berlaku melibatkan Rusia dan Ukraine.

“Proses mencari keadilan berhubung tembakan jatuh MH17 masih berterusan.

“Cuma yang dikaitkan dengan konflik Rusia-Ukraine ialah Australia dan Belanda telah guna isu MH17 untuk cuba mengaitkan pendirian kita…mungkin dengan pertimbangan geopolitik negara tertentu.

“Perkara ini dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri pagi tadi dan dimaklumkan Menteri Luar Negeri bahawa proses mencari keadilan untuk tragedi yang berlaku kepada MH17, kita akan teruskan.

“Sama ada di mahkamah antarabangsa dan sebagainya, kita akan teruskan tapi untuk ditarik ke dalam kancah geopolitik Rusia dan Ukraine, kita masih berpegang kepada prinsip kita.

“Yang mana kita tidak akan tunduk kepada sekatan-sekatan yang unilateral. Kita bincangkan pendirian kita dengan negara yang sefahaman dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat pada Rabu.