Pramugari
Bukan mudah untuk petugas Penerbangan Malaysia mengawal perasaan ketika bertugas. Foto Astro AWANI Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Dia menguntumkan senyum waktu melangkah masuk ke pesawat, menyambut penumpang di pintu dan menunjukkan tempat duduk mereka.

Dia meneliti senarai semakan dan prosedur keselamatan. Dia memastikan semuanya berjalan lancar sebelum akhirnya mengenakan tali pinggang untuk pesawat lepas landas.

Dia sudah melakukan semua ini beribu-ribu kali sebelumnya. Ini rutin yang dilakukan dengan kemampuan yang luar biasa dan senyuman sebagai satu cerminan budaya ramah tamah yang selalu membezakan Penerbangan Malaysia dengan syarikat penerbangan yang lain.

Tetapi di sebalik senyuman itu tersembunyi rasa bimbang dan kehilangan yang tidak kunjung padam.

“Boleh jadi nasib saya,” katanya, merujuk kepada 10 anak kapal yang hilang bersama 227 penumpang pesawat penerbangan MH370 sebulan yang lalu.

Farah (bukan nama sebenar), pramugari yang hampir 25 tahun berkhidmat dengan MAS, adalah antara kakitangan syarikat penerbangan itu yang bergelut untuk menerima hakikat kehilangan rakan kerja — yang kebanyakannya teman baik juga — dan pada masa sama, berusaha melakukan yang terbaik setiap hari.

“Saya menangis setiap kali mengenakan seragam. Saya menatap cermin dan mengenang bagaimana saya selamat tetapi mereka tidak. Saya cuba untuk tidak lagi merenung langit kerana setiap kali itu, saya tertanya-tanya mereka di mana?," katanya sambil menahan sebak.

Sebulan selepas kehilangan MH370 yang disusuli dengan operasi mengesannya yang terbesar dan paling mahal dalam sejarah penerbangan, dunia masih lagi bingung memikirkan bagaimana sebuah pesawat boleh hilang.

Ketika operasi itu berlumba dengan masa kerana bateri kotak hitam yang akan mati, ahli keluarga dan rakan-rakan penumpang serta kru MH370 yang berdukacita dihadapkan dengan realiti bahawa mereka mungkin tidak pernah akan tahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Malah sebulan selepas kejadian itu, perkara pertama yang dilakukan oleh anggota kru ialah berpelukan antara satu sama lain apabila kami berjumpa di pusat kerahan kru. Tempat itu sebelumnya cukup ceria, tempat kru berkumpul, berbual dan ketawa sebelum naik pesawat. Semua itu sudah berubah."

“Kebanyakan krew MH370 satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga. Siapa yang akan membantu mereka sekarang?," tambah Farah.

Anggota kru MH370 dalam perjalanan Kuala Lumpur-Beijing itu kebanyakannya kakitangan senior MAS yang terdiri daripada Patrick Francis Gomes, Andrew Nari, Goh Sock Lay, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan atau mesra dikenali dengan panggilan ‘Rain’, Junaidi Mohd Kassim, Tan Ser Kuin, Wan Swaid Wan Ismail, Ng Yar Chien, Foong Wai Yueng dan Tan Size Hiang.

Juruterbangnya, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang, Fariq Ab Hamid, sementara itu, disiasat dengan rapi dan adakalanya tidak digambarkan dengan adil oleh media sebagai "pengganas" biarpun ketika penyiasat yakin seseorang dengan sengaja memati alat komunikasi dan mungkin mengemudikan pesawat daripada laluan asalnya.

"Sesetengah media membuat spekulasi yang bukan-bukan. Mereka membuat teori yang tidak benar dan tidak ada bukti. Ada banyak yang telah diperkatakan dalam masa empat minggu lalu. Ia mengecewakan banyak orang," kata Presiden Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Kebangsaan (NUFAM), Ismail Nasaruddin tentang tuduhan terhadap dua juruterbang itu.

"Ini sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh kita bagaimana sebuah pesawat boleh hilang begitu saja. Apa yang mengganggu ialah hilangnya tidak ada tanda atau petunjuk. Kita rasa hilang punca," katanya.

mh370
Ahli keluarga penumpang China dalam penerbangan Malaysia Airlines MH370 bersembahyang di Hotel Metro Park di Beijing pada 8 April 2014. WANG Zhao / AFP
Malah pada masa ini pun, pihak berkuasa masih gagal untuk menemui biar secebis pun bukti yang boleh merungkaikan misteri terbesar dalam sejarah penerbangan ini dan kehilangan MH370 mendesak satu penilaian semula ke atas aspek keselamatan penerbangan.

“Persoalan yang orang hendak tahu sekarang ialah apakah masih selamat untuk terbang? Ada kebimbangan pada banyak orang termasuk kru," tambah Ismail.

"Sekarang ini ada rasa bimbang tetapi kami perlu menjalankan tugas. Saya terpaksa ambil cuti seminggu untuk tahu apa yang berlaku. Mereka kawan-kawan saya," kata seorang pramugari yang sudah 10 tahun bekerja dengan MAS.

Selain tugas pelayanan, anggota kru juga terlatih untuk memainkan peranan aktif dan penting dalam memastikan keselamatan semasa penerbangan.

"Saya memberi layanan di kokpit dan saya tidak pernah bimbang sekiranya ada orang berdiri di luar pintu. Tetapi sekarang saya berhati-hati. Saya lihat keliling dan memanggil kapten untuk memberitahu saya akan masuk biarpun ada kamera yang boleh dia lihat dari dalam kokpit," kata seorang ketua pramugari.

“Saya jarang membuat profiling ke atas penumpang tetapi saya beri perhatian kepada penumpang dan apa yang mereka bawa naik pesawat," tambahnya.

Kehilangan MH370 dan misteri punca kehilangannya tidak saja mencetuskan kebimbangan untuk terbang tetapi membayangkan pesawat itu mungkin terhempas di kawasan yang paling sunyi di dunia dan kita tidak mungkin akan pernah tahu apa yang sebenarnya berlaku pada awal pagi 8 Mac 2014 itu.

Buat masa ini, ahli keluarga dan rakan-rakan 239 orang yang menaiki pesawat penerbangan MH370 itu dan semua yang terkesan dengan kehilangannya hanya boleh meneruskan hidup dengan dukacita dan tidak menemui jawapannya.