MCA menubuhkan pasukan sukarelawan dikenali sebagai Pasukan Bantuan Krisis (CRSM) MCA bagi membantu anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 terutama dari China yang memerlukan khidmat terjemahan.

Presiden MCA Datuk Seri Liong Tong Lai berkata beliau difahamkan sebanyak 63 orang anggota keluarga penumpang pesawat MH370 akan tiba di Kuala Lumpur dari Beijing, China malam ini.

"Kami akan bantu mereka dari segi terjemahan dan keperluan harian mereka ketika berada di sini," katanya ketika ditemui media selepas melawat keluarga penumpang pesawat itu di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata kehilangan pesawat sejak Sabtu merupakan isu nasional dan rakyat Malaysia perlu bersatu untuk membolehkan MAS mengendalikan isu itu dengan baik.

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. Ia hilang dari radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL tengah malam Jumaat.

Pesawat itu membawa penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh warga China dan 38 rakyat Malaysia.