JOHOR BAHRU: Kementerian Kewangan (MoF) akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi mengekang kes penipuan melibatkan pertukaran kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan KKD bagi membincangkan perkara itu, yang dipercayai ditawarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi media sosial.

"Esok saya akan menghadiri pertemuan dengan KKD dan akan berbincang dengan mereka agar kes ini dapat dihebahkan di platform seperti laman sosial kementerian, televisyen dan radio.

"Sebab kita tidak mahu sebanyak dua juta belia yang menerima inisiatif itu tertipu dengan 'scammer' (sindiket penipuan) ini kerana ingin mencuba untuk menukar kredit RM200 tersebut kepada tunai," katanya pada sidang media selepas melawat pejabat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Johor di sini hari ini.

Beliau menjelaskan penebusan kredit sebanyak RM200 bagi belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) kepada tunai adalah tidak dibenarkan.

Ahmad berkata ini kerana pemberian kredit kepada golongan itu menerusi satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch 'n Go eWallet, adalah sebahagian usaha kerajaan menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai dalam kalangan belia.

"Kerajaan berharap golongan belia dapat membelanjakan sepenuhnya kredit itu terutama di premis Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sekali gus dapat menyokong ekonomi PMKS tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada MoF akan bekerjasama dengan KKD bagi mengekang penipuan melibatkan inisiatif itu.

Bernama sebelum ini melaporkan terdapat banyak iklan menerusi media sosial menawarkan khidmat menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai, selepas ia dikreditkan ke akaun e-dompet penerimanya bermula 26 Jun lepas.

Berhubung pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak memperoleh eBeliaRahmah, beliau menjelaskan pemberian itu tidak melibatkan golongan itu berikutan mereka telah menerima elaun bulanan sebanyak RM450.

"Saya mengharapkan agar sekiranya ada ahli politik mengutarakan isu ini, sila semak dahulu fakta bahawa pelajar IPG telah menerima elaun bulanan," katanya.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini menerusi hantaran di laman Facebooknya mempersoalkan kerajaan yang didakwa tidak memberikan inisiatif kredit RM200 eBeliaRahmah kepada pelajar IPG.

-- BERNAMA