PUTRAJAYA: Penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk beralih daripada pendekatan tindak balas selepas bencana kepada memberi penekanan lebih besar terhadap kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko bencana.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata negara memerlukan satu struktur yang membolehkan keputusan strategik dibuat dengan lebih pantas, penyelarasan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan di lapangan digerakkan tanpa kelompongan antara Persekutuan dengan negeri.
Advertisement
“Kita bukan sahaja mahu bertindak apabila musibah berlaku, tetapi memastikan negara lebih awal bersedia, risiko dapat diminimumkan, dan impaknya terhadap nyawa rakyat, harta benda serta ekonomi negara dapat dikurangkan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata penstrukturan baharu itu turut memperkukuh peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai agensi peneraju utama, termasuk dari segi kapasiti, kepakaran dan keupayaan operasi agar keseluruhan sistem tersebut dapat berfungsi secara efektif di semua peringkat.
Semalam, kerajaan bersetuju menubuhkan MPBN dengan ahli tetapnya dianggotai oleh semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier Sarawak.
Ahmad Zahid berkata usaha memperkukuh penyelarasan pengurusan bencana di peringkat negeri juga penting memandangkan keupayaan bertindak balas secara pantas dan tersusun di peringkat negeri dan daerah merupakan antara penentu utama keberkesanan pengurusan bencana.
“Justeru, hubungan kerja yang lebih rapat, jelas dan berfokus antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri perlu terus diperkasa agar keseluruhan rantaian pengurusan bencana negara benar-benar bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
-- BERNAMA