KUALA LUMPUR:Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan semula cadangan pengeluaran wang dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam usaha membantu rakyat khususnya mereka yang hilang pekerjaan.

Timbalan Presiden Kongres MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, perkara itu juga perlu diperhalusi dan dibincang secara menyeluruh mengenai bentuk atau kaedah pengeluaran sekiranya dibenarkan.

"MTUC berpandangan sewajarnya kerajaan membuat kajian terperinci mengenai keperluan untuk mengeluarkan wang simpanan itu dengan menentukan mekanisme yang sesuai jika pengeluaran dibenarkan.

"Perkara ini perlu dibincang secara menyeluruh bersama pihak berkepentingan dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk menyediakan pilihan kepada pencarum sama ada untuk keluarkan ataupun tidak," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Sabtu.

BACA: KWSP berdepan kekurangan dana besar jika pengeluaran Akaun 1 dibenarkan - Pakar

BACA: 'Rakyat merintih resah' - Asyraf Wajdi mohon pertimbang cadangan keluar wang KWSP

BACA: COVID-19: KWSP sedia bantu pencarum rancang kewangan mereka

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dilaporkan berkata kerajaan sukar membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19.

Kata Muhyiddin, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang Akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Effendy berkata, cadangan itu perlu mengambil kira semua aspek khususnya golongan pekerja yang terjejas termasuk kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19.

"Apalah gunanya kita bersedia untuk hari tua jika pada ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk masalah ekonomi dalam kalangan isi rumah," katanya.