Kerajaan Negeri Sembilan terus komited memartabatkan dan memperkasakan syiar Islam kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM17.3 juta bagi pembangunan hal ehwal Islam termasuk pembinaan Mahkamah Syariah Daerah Jempol, pembinaan Kompleks Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah, menaik taraf dan baik pulih Masjid Negeri dan kenaikan elaun lebih 1,500 guru kafa.

"Kerajaan juga telah memperuntukan RM2.84 juta bagi kenaikan imbuhan ke atas bilal, siak dan pembantu am wanita masjid," katanya ketika berucap di majlis penutup Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Sembilan pada Jumaat.

Penutupan majlis itu disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. Keberangkatan Tuanku Muhriz diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Sementara itu dalam majlis itu, Mohd Husaini Mahmur dinobatkan sebagai johan qari dan membawa pulang piala pusingan, wang tunai berjumlah RM5,000, hadiah menunaikan fardhu haji bernilai RM12,000 serta sijil penyertaan.

Manakala johan qariah dirangkul Nur Farhatul Faizurah Panut dengan membawa pulang piala pusingan, wang tunai berjumlah RM5,000 serta sijil penyertaan. Kedua-dua pemenang merupakan juara bagi kategori dewasa, mewakili daerah Seremban.

Daerah Seremban diumumkan sebagai johan keseluruhan dengan membawa pulang piala pusingan, wang tunai berjumlah RM1,000 dan sijil penyertaan.

-- BERNAMA