Skip to main content

Malaysia

Nahas di Gerik: Kereta hilang kawalan ketika memotong, punca dua maut - Polis

https://www.sinarharian.com.my/article/785299/berita/semasa/nahas-di-gerik-kereta-hilang-kawalan-ketika-memotong-punca-dua-maut
Kemalangan maut di Jalan Kuala Kangsar–Gerik–Pengkalan Hulu mengorbankan seorang pegawai polis dan guru. - Foto Sinar Harian
Advertisement

GERIK: Kemalangan maut mengorbankan anggota polis dan seorang guru di Kilometer 29.3 Jalan Kuala Kangsar–Gerik–Pengkalan Hulu di sini semalam dipercayai berpunca daripada kenderaan hilang kawalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu kereta Toyota Vios, Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan seorang penumpang Honda Odyssey, Zuraida Abu Bakar, 47, yang merupakan guru di Kolej Vokasional Gerik.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati Toyota Vios yang dipandu Melvindar dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Kuala Kangsar.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan sebuah Honda Odyssey.

"Kereta Honda Odyssey itu dipandu seorang guru wanita berusia 44 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menuju ke Gerik bersama lima lagi penumpang yang kesemuanya merupakan guru berusia antara 29 dan 55 tahun.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Vios mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang penumpang Honda Odyssey pula meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Samad berkata, mangsa-mangsa lain yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong dan Hospital Kuala Kangsar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Daerah Gerik untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Abdul Samad menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kemalangan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan seorang guru wanita maut selepas kenderaan dinaiki bertembung di Kilometer 30, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di sini. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement