BATU KAWAN: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bersama Kementerian Ekonomi buat julung kalinya menganjurkan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2023: Wilayah Utara pada 16 Nov ini di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, Perak.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan berkata ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman umum mengenai pelaksanaan dan pencapaian SDG di Malaysia, terutamanya di peringkat negeri dan tempatan.

Beliau berkata pelaksanaan di peringkat wilayah juga untuk membolehkan penglibatan lebih banyak pihak selain menyediakan platform dialog awam di peringkat tempatan selari dengan tema Malaysia SDG Summit 2023-2024.

"NCER menganjurkan persidangan ini adalah kerana kami mahu berikan pendedahan berhubung SDG (inisiatif yang telah dilaksanakan), cabaran dan isi pembangunan mampan, menggalakkan pembangunan kapasiti serta mempamerkan amalan terbaik kepada orang ramai terutama pihak industri, perniagaan dan mahasiswa.

"Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan untuk mempergiat pelaksanaan SDG di peringkat negeri dan tempatan," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini.

Mohamad Haris berkata objektif utama penganjuran ialah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan, status dan impak pelaksanaan serta pelan tindakan inisiatif, program dan projek berkaitan SDG di peringkat tempatan agar selaras dengan sasaran Agenda 2030 di peringkat nasional.

"Menerusi persidangan itu, ada beberapa perkara yang akan dibangkitkan antaranya Local Champions akan berkongsi impak pelaksanaan inisiatif, program dan projek selaras dengan SDG di peringkat tempatan serta manfaat yang telah diterima," katanya.

Beliau berkata persidangan bermula 9 pagi hingga 5.30 petang itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat terutamanya di Wilayah Utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis secara percuma.

NCER katanya menyasarkan 300 hingga 500 individu menyertai persidangan itu dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang ncer.com.my atau media sosial NCER Malaysia.

"Semua lapisan masyarakat dijemput untuk mendaftar melalui pautan digital yang disediakan (https://bit.ly/ncersdgsummit) dan setakat ini kami menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai," katanya.

Sementara itu, Mohamad Haris berkata NCIA sedang dalam proses merangka dan menambah nilai Pelan Pembangunan Strategik NCER (NCER SDP) dengan SDG menjadi antara elemen utama di dalam setiap pelan pelaksanaan yang sedang dan akan dijalankan.

Beliau berkata NCIA juga berhasrat menjadi ejen penggerak untuk menggalakkan pelaksanaan berterusan di peringkat tempatan dengan penglibatan semua pihak berkepentingan seperti komuniti, kerajaan, swasta dan akademik.

"Inisiatif ini bagi menyokong usaha kerajaan Persekutuan dan seterusnya Kementerian Ekonomi dalam menerima dan melaksanakan matlamat-matlamat SDG secara sistematik dan boleh memberi impak yang positif kepada NCER.

"Melalui Sidang Kemuncak itu, laporan penuh impak penganjuran akan disediakan bagi menilai dan mengenal pasti tahap kesedaran serta penerimaan awam terhadap SDG," katanya.

-- BERNAMA