SINGAPURA: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap hubungan Johor dan Singapura yang telah terjalin sejak sekian lama dapat diperkukuhkan lagi demi kebaikan bersama rakyat kedua-dua negara.

Berkongsi mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di laman rasmi Facebooknya pada Isnin, Onn Hafiz berkata pelbagai perkara dibincangkan, antara lain berhubung bagaimana Johor boleh meningkatkan kerjasama dengan Singapura.

"Selain itu kami turut berbincang mengenai ekonomi, infrastruktur, dan golongan belia," katanya.

Beliau turut memuat naik beberapa gambar pertemuan itu dalam Facebooknya.

Sementara itu, Lee di laman Facebooknya berkata "Kami membincangkan cara untuk melaksanakan lebih banyak kerjasama."

"Datuk Onn Hafiz dan saya gembira kerana keadaan telah kembali seperti sedia kala di Tambak, selepas pusat pemeriksaan darat dibuka semula.

"Kami akan terus bekerjasama rapat untuk memulihkan ekonomi," tulisnya.

Menurut Lee, Onn Hafiz turut mengundang beliau untuk melintasi Tambak dan berharap "dapat melakukannya tidak lama lagi."

Menurut Kementerian Luar Singapura pada Ahad (17 April) Onn Hafiz mengadakan lawatan rasmi ke Singapura bermula 17 April hingga 19 April, atas undangan Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.

Selain mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Lee, beliau turut dijadualkan bertemu beberapa Menteri iaitu Dr Balakrishnan, Menteri Perdagangan dan Industri Gan Kim Yong, Menteri Pengangkutan S Iswaran, dan Menteri Pembangunan Desmond Lee.

Kunjungan Menteri Besar hari ini dihoskan Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Grace Fu semasa menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin, Minggu Air Antarabangsa Singapura 2022.

Onn Hafiz turut dijadual melawat tapak Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) Link Woodlands North, dan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan latihan teknikal dan vokasional, pembangunan kemahiran, dan perumahan awam.

-- BERNAMA