Skip to main content

Malaysia

Onn Hafiz perjelas status Pelan Induk JS-SEZ, mahu elak kekeliruan pelabur

JOHOR BAHRU, 24 Jun -- Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Onn Hafiz berkata, penjelasan yang dibuat adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan perkembangan projek berimpak tinggi itu difahami dengan jelas oleh semua pihak berkepentingan. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

JOHOR BAHRU: Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil memberikan penjelasan berhubung status Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenainya.

Menurut Menteri Besar Johor itu, berdasarkan maklumat yang diterima kerajaan negeri, dokumen pelan induk itu merupakan dokumen Kerajaan Malaysia yang telah melalui proses libat urus dengan Singapura dan kini hanya menunggu pelancaran rasmi oleh Kerajaan Persekutuan.

"Saya menghormati kedudukan Perdana Menteri dan berpandangan bahawa setiap kenyataan yang dibuat perlu bersandarkan kepada fakta yang tepat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pelabur.

"Hakikatnya, Pelan Induk JS-SEZ merupakan dokumen Kerajaan Malaysia. Ia tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya proses libat urus dan maklum balas daripada pihak Singapura, yang telah selesai dilaksanakan.

"Yang tinggal ketika ini ialah pelancaran oleh kementerian berkaitan atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya menerusi hantaran di media sosial, pada Sabtu.

Sehubungan itu, Onn Hafiz berpandangan, terdapat keperluan untuk memperjelaskan kedudukan sebenar pelan induk berkenaan agar semua pihak, khususnya pelabur, mendapat maklumat yang tepat mengenai perkembangannya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan setiap inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada Johor dapat dilaksanakan mengikut jadual dan dipercepatkan demi meningkatkan keyakinan pelabur.

 

"Ramai pelabur yang menantikan pelancaran pelan induk ini. Ia penting bagi memberikan keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur dalam JS-SEZ, sekali gus membawa manfaat kepada Johor dan negara secara keseluruhan," katanya.

Tambah beliau, penjelasan yang dibuat adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan perkembangan projek berimpak tinggi itu difahami dengan jelas oleh semua pihak berkepentingan.

Pada Jumaat, Anwar menyifatkan tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu yang menggunakan isu JS-SEZ sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai tidak wajar.

Perdana Menteri dilaporkan berkata demikian kerana projek berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang sedang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri.

 

Must Watch Video

Advertisement