KUALA LUMPUR: Telah hampir seminggu Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan di Dewan Rakyat, namun masih kedengaran suara masyarakat membahaskan isu itu.
Puncanya, mereka bimbang hasrat untuk melihat berakhirnya generasi perokok tidak dapat direalisasikan kerana rang undang-undang itu, yang dibawa ke Parlimen buat kali kedua selepas versi pertama dimajukan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas pada Jun lalu, menggugurkan klausa berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG).
Biarpun sudah dijelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas dinasihati oleh Pejabat Peguam Negara berikutan risiko mewujudkan ketidaksamarataan serta boleh dicabar di mahkamah, ada beberapa kelompok masyarakat yang masih tidak berpuas hati.
Beberapa pakar yang ditemu ramah Bernama juga menyuarakan rasa kecewa tentang keputusan kerajaan itu, namun mereka tidak melihat pengguguran klausa GEG sebagai penamat kepada usaha melahirkan generasi tidak merokok.
Bagi mereka, rang undang-undang itu kritikal dalam mengawal selia produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau, terutama bagi menangani penggunaan rokok elektronik atau vap yang semakin membarah sejak cecair vap bernikotin dikeluarkan daripada senarai bahan terkawal Akta Racun 1952 pada Mac lalu.
Tambahan pula kata mereka, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa juga menyatakan komitmen untuk mengembalikan klausa GEG apabila rang undang-undang itu, yang kini memerlukan kelulusan di peringkat Dewan Negara yang sedang bersidang hingga 14 Dis ini, dikuatkuasakan.
Versi baharu ini menyebut melalui Perkara 13 - Larangan penjualan produk tembakau dan sebagainya, kepada orang belum dewasa - membawa maksud golongan yang lahir pada 1 Jan 2007 masih boleh menggunakan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selepas mereka berusia 18 tahun ke atas, manakala versi terdahulu melarang sama sekali mereka yang lahir pada 1 Jan 2007 dan ke atas berbuat demikian.
LANGKAH PERTAMA KE ARAH GEG
Bagi Ketua Sustainable Smokefree Campus Community Flagship, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed, beliau mahu melihat rang undang-undang itu sebagai langkah pertama ke arah pewujudan GEG.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan undang-undang tersebut agar dapat membendung peningkatan perokok dalam kalangan generasi muda, kerana prevalens merokok dalam kalangan dewasa Malaysia kekal melebihi 21 peratus sejak puluhan tahun lalu.
"Hal ini menunjukkan bahawa apa yang dilakukan sebelum ini hanya berjaya dari segi mengekang kenaikan mendadak peratusan perokok di Malaysia tetapi gagal mengurangkan bilangan perokok secara signifikan.
"Faktor utama yang menyumbang kepada statistik ini ialah bilangan perokok baharu dalam golongan orang belum dewasa kerana kajian mendapati majoriti perokok bermula pada usia kurang daripada 18 tahun," katanya kepada Bernama.
Kebimbangannya juga lebih terarah kepada peningkatan ketara penggunaan vap dan rokok elektronik yang semakin berleluasa dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati peratusan penghisap rokok elektronik atau vap dalam kalangan remaja di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara, iaitu daripada 9.8 peratus (NHMS 2017) kepada 14.9 peratus (NHMS 2022).
Pada masa sama, data NHMS menunjukkan prevalens perokok konvensional golongan remaja dalam trend menurun, iaitu 13.8 peratus pada 2017 kepada 6.2 peratus pada 2022.
Sehubungan itu, beliau melihat rang undang-undang baharu tersebut mempunyai kekuatan kendiri bagi melindungi generasi muda daripada rokok alaf baharu dan berpotensi untuk terus melindungi mereka hingga dewasa.
Secara langsung ini akan membawa impak terhadap kos perubatan negara kerana kerajaan dijangka menanggung kos rawatan kira-kira RM369 juta setahun pada 2030 bagi penyakit rokok elektronik atau EVALI, iaitu kerosakan paru-paru berkaitan penggunaan produk vap, sekiranya tiada kawalan undang-undang.
Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan menerima 17 kes EVALI dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, dengan Kementerian Kewangan menganggarkan kos rawatan bagi penyakit itu ialah RM150,000 setahun bagi seorang pesakit, sementara hasil kutipan cukai vap pula sekitar RM500 juta setahun.
Berdasarkan situasi di luar negara, EVALI berpotensi membarah seperti di Amerika Syarikat misalnya, yang merekodkan kira-kira 2,800 kes EVALI pada tahun ini dengan 68 kematian.
Sementara itu, Pusat Racun Negara merekodkan sebanyak 77 kes pendedahan kepada nikotin (keracunan nikotin) daripada rokok elektronik bagi tempoh 2015 hingga 2022, dan untuk tahun ini, setakat artikel ini ditulis, sebanyak tujuh kes direkodkan dengan lima kes membabitkan kanak-kanak.
KOMPREHENSIF
Rang undang-undang itu mengandungi Fasal 1 hingga 54 memperuntukkan hal yang berhubung pendaftaran, pengiklanan, kawalan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau, dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubung dengannya.
Pada masa sama, rang undang-undang itu memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan sebarang perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).
Bagi Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Norashidah Mohamed Nor, penguatkuasaan undang-undang itu perlu dilaksanakan seberapa segera bagi mengekang masalah rokok dan vap, terutama dalam kalangan remaja.
"Produk merokok ini meliputi bukan sahaja produk tembakau tetapi juga produk pengganti tembakau seperti vap yang sedang berleluasa di Malaysia. Jika selama ini hanya produk tembakau di bawah Akta Makanan 1983, dengan wujudnya rang undang-undang ini dapat memberi kawalan lebih komprehensif kepada produk merokok," katanya.
Pakar itu menjelaskan antara kekuatan yang boleh dilihat setelah undang-undang tersebut dikuatkuasakan ialah perlindungan daripada semua produk merokok, iaitu produk tembakau merangkumi tembakau yang diproses atau apa-apa produk yang mengandungi tembakau bagi kegunaan manusia.
"Ini juga merangkumi produk penganti tembakau, iaitu apa-apa produk atau produk yang diproses selain produk tembakau yang boleh diguna bagi merokok, tidak boleh dijual kepada OBD dan dibeli oleh golongan ini.
"Tiada jual beli produk merokok ini kepada mereka yang bawah umur 18 tahun, tiada promosi atau sebarang tajaan daripada syarikat bahan merokok ini. Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin perlu memantau anak-anak serta kawasan persekitaran agar kita dapat membendung masalah ketagihan produk merokok terutama dalam kalangan remaja," katanya.
Beliau melihat kepentingan semua pihak berganding bahu menyokong langkah yang sedang dibuat oleh kerajaan memandangkan prevalens merokok di negara ini masih lagi tinggi, iaitu 22.8 peratus dengan anggaran jumlah perokok konvensional sebanyak lima juta.
GEG PERLU DITERUSKAN
Pada masa sama, pakar yang dihubungi berharap kerajaan tidak melupakan peruntukan GEG yang disifatkan mereka sebagai sangat penting bagi memastikan keberkesanan atau kejayaan memerangi tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.
GEG juga kritikal sebagai pendekatan baharu bagi mengekang epidemik rokok dan rokok elektronik di negara ini, kata Mohamad Haniki.
Menurut beliau, ini berikutan rokok elektronik, sepertimana rokok konvensional, berupaya menghantar nikotin ke otak dengan cepat dan mencapai kepekatan nikotin yang tinggi, dan seterusnya menyebabkan pengguna mengalami ketagihan atau kebergantungan pada nikotin.
"Kajian mendapati remaja yang tidak merokok tetapi bermula dengan rokok elektronik mempunyai risiko tinggi untuk menghisap kedua-duanya (dual users) atau beralih kepada rokok konvensional. Mereka inilah yang menyumbang kepada pengekalan peratusan tinggi perokok dewasa di Malaysia.
"Justeru, sasaran prevalens merokok kurang 15 peratus pada 2025 dan kurang lima peratus pada 2040 tidak akan dapat dicapai dan kerana itulah tujuan utama GEG diperkenalkan," katanya.
Bagi orang awam, mereka sememangnya tertunggu-tunggu penguatkuasaan undang-undang yang dapat melindungi anak mereka daripada terjebak dalam dunia perokok.
Pekerja swasta Hasliza Nusi, 40, misalnya, berkata kesan penggunaan vap bukan sahaja ke atas kesihatan tetapi juga nilai jati diri anak-anak remaja termasuk hilang rasa hormat kepada ibu bapa selain berisiko terjerumus dalam pelbagai masalah sosial lain.
"Kita bimbang jika tidak dikuatkuasakan undang-undang ini dengan segera, kemungkinan amalan menghisap vap dianggap sebagai 'jajan' dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.
"Mereka akan hilang rasa hormat terhadap ibu bapa dan masyarakat serta menganggap aktiviti ini sebagai trend dan nampak matang. Selagi dijual di pasaran, selagi itulah vap dan rokok dianggap sebagai produk yang boleh digunakan," katanya yang mempunyai tiga orang anak berusia lima hingga 14 tahun.
Nada sama diluahkan Siti Aziela Wahi, 38, yang bagaimanapun berharap penguatkuasaan secara menyeluruh dengan pemantauan berterusan, merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.
"Sekarang wujud vap yang mengandungi pelbagai perisa dan warna. Saya bimbang jika mereka sudah terjebak dari awal," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Dec 10 2023
Rang undang-undang itu kritikal dalam mengawal selia produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau, terutama bagi menangani penggunaan rokok elektronik atau vap. - Gambar hiasan/BERNAMA
Pelajar antarabangsa tingkatkan permintaan dalam pasaran kediaman - Juwai IQI
Pelajar antarabangsa meningkatkan permintaan untuk hartanah sewa di bandar yang mempunyai institusi pendidikan yang besar terutamanya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Demi langsai hutang, wanita menyamar jadi 'ibu' daftar kad pengenalan jiran
Seorang peniaga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi mendaftarkan kad pengenalan dua lelaki yang juga jirannya tahun lepas.
MAIPs, tiga lagi gagal dapat kebenaran merayu, anak Loh kekal beragama Hindu
MAIPs dan tiga yang lain gagal mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan penukaran agama tiga anak ibu tunggal.
Duta AS lihat potensi kerjasama dengan Sarawak dalam pembangunan tenaga bersih
Kagan berkata kerjasama baharu boleh diteroka memandangkan Sarawak telah bergerak ke hadapan terutama dalam pembangunan hidrogen sebagai tenaga bersih.
Jelajah Perpaduan Kayuhan Hijau rentas sembilan negeri di Semenanjung
Jelajah ini bertujuan mempromosikan Kempen Penghijauan Malaysia dengan aktiviti penanaman pokok oleh peserta kayuhan hijau.
Kes denggi menurun - KP Kesihatan
Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan dalam minggu tersebut.
Penduduk Malaysia cecah 34 juta - DOSM
Penduduk Malaysia pada suku tahun pertama 2024 (ST1 2024) dianggarkan berjumlah 34 juta, meningkat 2.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 (ST1 2023).
AWANI Ringkas: Saman Lim Kit Siang
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Universiti seluruh dunia jadi hab sokong perjuangan Palestin
Universiti menjadi hab mega aktivisme bagi pelajar mengangkat perjuangan Palestin dan membantah pembunuhan yang sedang dilakukan oleh Israel dengan sokongan sekutunya, Amerika Syarikat.
Ippo Hafiz gagal hadirkan diri kes tuntutan cerai, hak jagaan anak
-Saya dah failkan kes ini pada Februari, harapnya dia datang lah bagi sebutan kes minggu hadapan supaya boleh selesaikan dengan cara yang baik.
DUN lulus Rang Undang-Undang Perbadanan Perhutanan Sarawak
RUU itu diluluskan selepas tujuh Ahli DUN mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.
Akta Sewaan Kediaman perlu digubal segera bagi pelihara hak pemilik, penyewa
Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan hari ini meminta kerajaan menggubal Akta Sewaan Kediaman dengan segera bagi memastikan hak pemilik kediaman dan penyewa sentiasa terpelihara di negara ini.
Dewan Negara luluskan tiga rang undang-undang hari ini
Rang undang-undang bagi meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 1999 diluluskan dengan lebih suara bersetuju.
Dewan Negara lulus RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023
Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.
Kerajaan perlu sentiasa semak peruntukan sedia ada selari dengan perkembangan teknologi
Kerajaan perlu sentiasa menyemak peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan demi kedaulatan digital Malaysia supaya ia selari dengan perkembangan teknologi.
Kajian semula struktur percukaian, sara antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Isu mengenai langkah-langkah mengkaji semula struktur percukaian semasa akan dibangkitkan Muhammad Ismi Mat Taib pada sesi soal jawab.
Parlimen: Dua RUU di bawah Kementerian Kewangan dibentang untuk bacaan kali pertama
Amir Hamzah Azizan ketika membentangkan RUU itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada sesi persidangan kali ini.
Pelan akses jalur lebar, barangan subsidi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Isu mengenai akses jalur lebar diutarakan Edwin Anak Banta (GPS-Selangau) kepada Menteri Komunikasi pada sesi soal jawab.
Dewan Rakyat lulus RUU Polis (Pindaan) 2024
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Polis (Pindaan) 2024, antara lain melantik Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.