PAS hari ini mengisytiharkan sokongannya terhadap Ramkarpal Singh sebagai calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gelugor, 25 Mei ini.

Timbalan Presidennya Mohamad Sabu berkata partinya menganggap calon DAP itu sebagai calonnya sendiri dan akan memberi sokongan padu kepada anak ketiga mendiang bekas pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh itu.

"Kita beri sokongan penuh dan malam esok kita akan lancarkan jentera pilihan raya PAS untuk membantu DAP dalam PRK Bukit Gelugor," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon DAP di sini hari ini.

Mohamad Sabu, yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata, presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir bagi memberi sokongan kepada calon DAP itu pada hari penamaan calon, Isnin ini.

Mengenai ahli PAS Gombak, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar, 63, menawarkan diri untuk bertanding, katanya PAS akan menyiasat kesahihan keanggotaan individu berkenaan.

Beliau berkata PAS telah membuat keputusan tidak meletakkan calon dan jika benar individu itu adalah anggota parti, PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan untuk memecatnya.

Sebelum ini, dua individu lain turut menyatakan hasrat bertanding dalam PRK tersebut iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dan Mohd Yacoob Mohd Noor, seorang pengurus beberapa inap desa.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Penang Front Party turut menyatakan hasrat untuk meletakkan calon.

PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas.

SPR menetapkan 12 Mei ini sebagai hari penamaan calon, pengundian awal 21 Mei dan hari mengundi 25 Mei ini.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas, mendiang Karpal Singh menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Teh Beng Yeam dengan majoriti 42,706 undi.