Pas Wilayah Persekutuan kecewa dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali kerana membuat pengumuman calon di kawasan itu tanpa persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjayanya Mohamad Noor Mohamad, berkata, ia berikutan kerusi Wilayah Persekutuan Labuan sudah diserahkan kepada Pas, manakala kerusi Setiawangsa masih dalam perbincangan.

Tegasnya, pengumuman dibuat Azmin itu tidak mencerminkan semangat perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

"Kita rasa sikit kesal atas pengumuman dibuat oleh naib presiden PKR Azmin Ali bahawa PKR akan bertanding di tiga kawasan iaitu Labuan, Setiawangsa dan Bera.

"Bagi Pas Wilayah Persekutuan, kita merasakan kenyataan dibuat Azmin ini tidak mencerminkan semangat setiawakan dan perpaduan di Pakatan Rakyat khusus Pas Wilayah Persekutuan kerana kerusi bertanding diputuskan dan dimuktamadkan Majlis Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, Pas dan PKR , kenapa ia dirungkai semula dan tidak dirujuk kepada Pas Wilayah Persekutuan," ujarnya.

Katanya, mesyuarat terakhir Majlis pimpinan Pakatan Rakyat pada 18 ogos 2011 memutuskan kerusi parlimen di Putrajaya, Titiwangsa dan Labuan diserahkan kepada Pas.

Kerusi parlimen Setiawangsa belum diputuskan berikutan berlaku pertindihan antara PKR dan Pas.

Justeru, beliau berharap tiada lagi pihak yang membuat kenyataan mengenai pembahagian kerusi di Wilayah Persekutuan tanpa merujuk kepada badan perhubungan Pas di kawasan itu.

"Sekiranya ada perkara hendak diumumkan, seharunya dirujuk kepada kepimpinan Wilayah Persekutuan dan kita harap tiada yang umum dengan sewenang-wenangnya tanpa rujuk dulu pada kami," ujarnya.

Mohamad berkata demikian pada satu sidang media di ibu negara.

Dalam sidang media itu, beliau turut mengumumkan calon Pas bagi kerusi parlimen Labuan, Hadnan Mohamad yang merupakan anak tempatan di negeri itu.

Hadnan merupakan Ketua Penerangan Pas Labuan dan berkhidmat di Sabah Shell Petroleum Company Limited.

Pada Khamis, Azmin mengumumkan, PKR akan bertanding di tiga kawasan iaitu parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan yang pernah ditandingi Pas pada PRU 2008.

Pertukaran kerusi antara sekutu pakatan pembangkang itu terpaksa dibuat berikutan timbulnya bantahan di kalangan penyokong PKR apabila PAS mendahului dengan menamakan calon mereka bertanding di Parlimen Temerloh dan Kangar.