KUALA LUMPUR: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengesan satu lagi kebocoran di saluran paip bawah air Sungai Perai, pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan, PBAPP berkata, kakitangannya sedang menyiasat punca dan lokasi kebocoran untuk memeriksa sama ada ia berada di bahagian sama yang telah dibaiki, pada Khamis.

"⁠Walaupun berlaku kebocoran, PBAPP akan terus mengepam air melalui saluran paip buat masa ini.

"⁠Pengguna pemulihan peringkat kedua diminta untuk menyimpan air untuk kegunaan kerana saluran paip itu mungkin akan ditutup kemudian untuk kerja-kerja pembaikan kecemasan.

"Situasi ini masih dalam siasatan dan PBAPP akan berkongsi hasilnya apabila ia mempunyai maklumat dan data yang tepat," katanya, pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, PBAPP memaklumkan, tahap kedua pemulihan bekalan air bermula dari 6 pagi Jumaat, dengan pengepaman optimum air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke bahagian pulau negeri itu.

PBAPP menyasarkan untuk memulihkan bekalan air kepada 495,065 pengguna menjelang 6 pagi esok (13 Januari).

Tahap kedua melibatkan 495,065 pengguna atau 84 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau.

Tahap ketiga iaitu pemulihan bekalan air membabitkan 99.5 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau belum selesai dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang 6 pagi Ahad (14 Januari).

Sungai Perai adalah lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan selain kerja utama mengganti dua unit injap 1,200 milimeter (mm) di LRA Sungai Dua.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi Rabu namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan Daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.