KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mayat mangsa bunuh yang ditemukan di barat laut Bathurst di New South Wales, Australia pada 3 April lalu adalah rakyat Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataannya berkata, mangsa berusia 25 tahun berasal dari Sarawak.

"Mangsa dipercayai telah memasuki Australia pada bulan November 2016 dengan menggunakan visa pelancong dan ditawarkan sebagai pekerja ladang oleh satu sindiket warga asing yang disyaki terlibat dengan dadah.

"Siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa Australia dan sebarang perkembangan siasatan akan dimaklumkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut," katanya pada Selasa.

Beliau dalam masa sama turut menyeru agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini bagi mengelakkan timbul kekeliruan kepada masyarakat.

Terdahulu pada 3 April 2022, polis Australia memaklumkan telah menemui satu rangka manusia di kawasan luar bandar di Bathurst, New South Wales yang dipercayai telah dibunuh lebih dari setahun yang lalu.

Mayat dipercayai "Jacky" Chong Kai Wong itu dijumpai kira-kira jam 3.30 petang selepas penyiasat memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

BACA: Polis Australia temui mayat mangsa bunuh dipercayai warga Malaysia