KUALA LUMPUR: Seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan ketika berhibur di premis hiburan di Ipoh, Perak, dengan dua daripada mereka didapati positif dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dijalankan pada 5 April lalu di dua premis hiburan di Bandar Baru Medan Ipoh dan Taman Ipoh.
Advertisement
“Hasil pemeriksaan di premis kedua mendapati seramai 87 pelanggan berusia antara 19 hingga 52 tahun positif dadah.
“Turut diperiksa dalam serbuan itu ialah seorang pegawai dan dua anggota polis yang sedang berhibur. Dua daripada anggota terbabit didapati positif dadah,” katanya.
Hussein berkata, dua anggota polis tersebut berpangkat koperal dan lans koperal, masing-masing berusia 26 dan 40 tahun serta bertugas di Johor.
“Koperal terbabit didapati positif ketamin, manakala rakannya pula positif methamphetamine, amphetamine dan ketamin.
“Pegawai polis yang bertugas di Perak pula didapati negatif dadah,” katanya.
Beliau berkata, seramai 59 lelaki dan 28 wanita ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tindakan ini membuktikan kita tidak berkompromi terhadap sebarang kesalahan, termasuk melibatkan anggota polis,” katanya. - Sinar Harian