RAUB: Tindakan semakan kehakiman akan diteruskan oleh pekebun durian Musang King Raub dengan alasan syarat baharu yang ditawarkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) masih tidak dapat menjamin kepentingan pekebun-pekebun terbabit.

Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang berkata, resolusi itu dicapai hasil perhimpunan pekebun-pekebun tanpa geran yang turut sebulat suara menolak kertas terma RPDR-PKPP yang didakwa mengandungi syarat tetap yang bersifat eksploitasi.

"Walaupun pihak RPDR-PKPP mendakwa bahawa terma-terma tersebut telah diperbaiki tetapi cadangannya masih bersifat berat sebelah seperti menetapkan harga tetap yang jauh murah daripada pasaran.

"Ia juga memaksa pekebun menjual semua durian kepada kilang RPDP-PKPP yang belum dibina," katanya dalam satu kenyataan selepas selesai perhimpunan pekebun tanpa geran dekat Sungai Ruan di sini semalam.

Kira-kira 500 pekebun terlibat hadir dalam perhimpunan terbabit yang turut dihadiri Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Chang berkata, perhimpunan terbabit penting memandangkan jumlah yang hadir begitu ramai, sekali gus mampu mewakili pandangan dan pendirian pekebun-pekebun tanpa geran yang terjejas oleh skema RPDR-PKPP.

Tambah beliau lagi, perhimpunan itu turut memfokuskan kepada kandungan kertas terma terbaharu bertarikh 30 Dis 2022 yang ditawarkan oleh pihak RPDR-PKPP kepada pekebun-pekebun tanpa geran.

BACA: Pekebun Musang King perlu pertimbang permohonan semakan kehakiman semula - MB Pahang 

Dalam pada itu, Chang berkata, Samka berasa amat kesal kerana wakil Royal Pahang Durian Group didakwa menolak untuk menghadiri perhimpunan tersebut melalui surat rasmi daripada firma peguam.

"Syarikat RPDR-PKPP tidak pernah menganjurkan sesi dialog awam dengan pihak pekebun-pekebun, malahan enggan merebut peluang ini untuk berdialog.

"Jelas bahawa, syarikat swasta tersebut langsung tidak berniat untuk mencapai solusi menang-menang dengan pekebun-pekebun tetapi hanya berfokus kepada keuntungan sahaja," jelasnya.

Bagaimanapun, kata Chang, pekebun-pekebun bersetuju untuk menubuhkan panel rundingan bagi memulakan perbincangan dengan kerajaan negeri mahupun syarikat RPDR-PKPP supaya menyelesaikan kemelut Musang King.

"Lanjutan itu, mereka berjaya mencapai resolusi bahawa rundingan tersebut perlu berdasarkan prinsip rakan setara dan ini bermakna segala syarat kontrak dan penandatanganan kontrak harus berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

"Tambahan pula, perdagangan bebas perlu dijamin bagi suasana persaingan yang sihat. Aktiviti penjualan durian kepada pihak syarikat haruslah bebas daripada unsur paksaan," katanya.

Sementara itu, Chang memberitahu, pekebun-pekebun juga sanggup membayar kadar cukai tanah 20 kali lebih daripada kadar cukai yang ditetapkan dalam Warta Negeri Pahang 2019.

"Mereka (pekebun) menawarkan untuk membayar kos tahunan pemeliharaan alam sekitar bagi mewujudkan industri durian dan persekitaran yang lestari," jelasnya.