KUALA LUMPUR: Seramai sembilan individu termasuk enam wanita warga tempatan ditahan kerana terlibat dalam skim penipuan pelaburan 'Planetrade' pada tahun 2022.

Menurut Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, sebanyak 92 laporan polis berkaitan skim penipuan tersebut diterima dengan nilai kerugian RM17.55 juta sepanjang tempoh Januari 2021 sehingga kini.

"Suspek yang merupakan dalang skim penipuan ini telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

"Seorang lagi suspek yang merupakan pengarah syarikat mengendalikan skim tersebut juga telah didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Manakala tujuh lagi suspek telah dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noorsiah berkata, polis turut membekukan 27 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM700,533.47, enam kenderaan dengan nilai RM1.17 juta dan 11 juta unit saham di empat buah syarikat berkaitan di bawah seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

Jelasnya, dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pelaburan 'Planetrade', PDRM ingin menegaskan bahawa siasatan telah dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.

"Kesemua suspek yang ditahan mempunyai penglibatan dan berperanan sama ada menguruskan, mengendalikan dan mempromosikan skim penipuan ini.

"Antara suspek ditahan juga merupakan pelabur atau mangsa skim yang berperanan sebagai 'Authorised Introducer' iaitu menerima komisen bagi setiap pelabur yang dibawa masuk ke dalam skim tersebut," katanya.

Justeru itu, Noorisah menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa untuk tampil segera membuat laporan polis.

Pada 1 April lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa individu yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan “Planetrade” diminta membuat laporan polis dengan segera.