MELAKA: Polis Melaka menafikan dakwaan kononnya bertindak kejam terhadap seorang pelajar yang dikompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.

Tegas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Lalli Masduki, polis bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang sememangnya difahami oleh pelajar terbabit.

“Beginilah, saya rasa berkaitan apa juga prosedur atau SOP atau apa juga yang sedang dikuatkuasakan oleh kerajaan, sebenarnya cukup diwar-warkan, cukup diberitahu kepada umum sama ada (melalui) media atau pelbagai cara untuk menyampaikan maklumat itu kepada orang awam, kepada orang luar.

“Jadi, saya rasa tidak adil untuk salahkan pihak polis bahawa (kami) kejam, bahawa kita ini tidak bertoleransi,” katanya kepada media selepas menyempurnakan program taklimat keselamatan dan pelaksanaan inisiatif ‘satu masjid satu polis’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang hari ini.

Beliau mengulas isu tular seorang pelajar berusia 17 tahun dikompaun RM10,000 kerana tidak menggunakan aplikasi MySejahtera ketika mahu membeli ubat untuk ibunya di sebuah premis perniagaan di Batu Berendam, Ahad lalu.

Jelas Shahrul Laili, pelajar Tingkatan Lima terbabit boleh membuat rayuan pengurangan bayaran di pejabat kesihatan daerah berhampiran.

Justeru, beliau turut meminta pihak tertentu tidak mensensasikan isu berkenan.

Dalam pada itu, ujarnya,seramai 21 individu termasuk pelajar dikompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar SOP dalam tempoh 14 hari bermula 12 Mac lalu hingga semalam.

Katanya, sebahagian besar kesalahan ialah kegagalan melakukan imbasan aplikasi MySejahtera ketika memasuki premis dan tidak memakai pelitup muka.