KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur dan Selangor disifatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seperti tidak bersandarkan kepada kajian sains dan data yang tepat.

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu mempersoalkan, kenapa Kuala Lumpur tidak berada dalam senarai awal seperti enam daerah di Selangor seperti yang diumumkan pada hari Selasa lalu.

"Contohnya pengumuman PKP di enam daerah di Selangor (Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang) pada Selasa namun, timbul persoalan mengapa Kuala Lumpur tidak disenaraikan sekali sedangkan kes di Kuala Lumpur lebih tinggi.

"Tiba-tiba, pada 5 Mei (Rabu) kerajaan umumkan pula Kuala Lumpur sebagai kawasan PKP.  Adakah keputusan ini dibuat kerana ramai yang meminta penjelasan kerajaan atau ia dibuat mengikut data dan sains?

"Sekejap macam ini, sekejap macam itu. Saya sendiri tidak pasti apakah kayu ukur yang digunakan oleh kerajaan," kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam kenyataan pada Khamis.

Persoalan lain yang turut dicetuskan Syed Saddiq ialah sejauh mana kerajaan sedar bahawa hampir separuh daripada kluster COVID-19 berpunca daripada kilang iaitu 48.06 peratus berbanding kluster awam, namun, pelaksanaan PKP tidak pula diutamakan di kawasan kilang.

"Kluster awam yang lain jauh lebih rendah berbanding kilang tetapi mengapa tindakan kerajaan umumkan PKP tidak tertumpu kepada kawasan kilang?

"Mengapa peniaga dan penjaja bazar pula yang terjejas atau mereka yang perlu tutup kedai lebih awal kerana pengumuman PKP?" tegas Ahli Parlimen Muar itu lagi.

Katanya, seandainya kerajaan melaksanakan PKP itu bersandarkan pada data, tentu sekali kawasan kilang akan menjadi tumpuan dalam usaha melawan COVID-19.

"Malangnya itu tidak berlaku. Jadi, yang perlu tanggung kesusahan bersama ini adalah rakyat. Menteri hanya pandai umum PKP dan tutup kedai. Yang rugi rakyat. Yang tidak membaca data, menteri," katanya.