KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bersama pemain industri pengangkutan barangan merupakan langkah agresif mewujudkan persekitaran kondusif bagi mengelak ketirisan dan penyeludupan yang berterusan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah ini bukan bermaksud kerajaan kedekut tetapi lebih mengutamakan penyelesaian masalah yang sudah lama berlarutan. 

"Program subsidi ini untuk meminimumkan isu ketirisan dan juga penyeludupan. Bukan kerajaan kedekut atau sebagainya, tetapi menangani penyeludupan yang berleluasa.

"Saya juga nak sebut, kita melaksanakan dengan semakin agresif tahun ini, penguatkuasaan kita bukan setakat diesel, begitu juga termasuk kartel, harga, pengeluran dan sebagainya.

"Kita mahu wujudkan ekosistem atau persekitaran yang kondusif antaranya melaksanakan penguatkuasaan corruption or smuggling punya isu, risk management issue itu sangat penting. Pendekatan penyasaran semula subsidi ini kita sifatkan sebagai salah satu usaha untuk mengurus risiko ketirisan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media SKDS 2.0 Bersama Industri Pengangkutan Barangan di Putrajaya pada Selasa.

Jelas beliau lagi, KPDN turut menerima aduan dan sedang mengumpul maklumat bagi siasatan terhadap aduan diterima daripada syarikat pengusaha stesen minyak yang diugut sekiranya tidak membenarkan penjualan diesel kepada kenderaan secara berulang.

"Itu asasnya sebab kita tengah kumpulkan maklumat banyak syarikat stesen minyak yang sampai ke tahap mereka diugut pihak-pihak tertentu, sindiket tertentu.

"Jadi kita mahu menghalang perkara ini dari menjadi terus sistemik. Kita tengah kumpulkan sama ada polis dengan syarikat pengusaha minyak tadi yang mana ada syarikat minyak yang diugut sekiranya tidak membenarkan penjualan diesel kepada kenderaan yang sebelum ini dilihat kerap mengisi berulang kali. 

"Ini isu keselamatan dan ada juga sesetengah syarikat minyak memilih tidak membuat laporan kerana khuatir keselamatan diri, pekerja dan premis mereka. jadi kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku," katanya.