Kesediaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sangat membimbangkan dan sekaligus mengelirukan, kata Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Ujar Dr Saleeh, jika PPSMI dilaksanakan kembali, ia akan menyebabkan sistem pendidikan terus huru-hara.

"Kekeliruan berlaku kerana pada masa Tan Sri Muhyiddin menjadi TPM dan Menteri Pendidikan beliau telah menghapuskan PPSMI.

"Bagaimanakah beliau akan berkompromi dengan Pengerusinya sekarang. Amat malang nasib Bahasa Melayu kerana menjadi bidak percaturan kuasa politik.

"Pembunuhan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan merupakan dosa tak berampun," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI.

Selain Pena, Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar) turut menentang keras cadangan untuk melaksanakan semula PPSMI yang menghina Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Presiden Akar, Ab Jalil Backer dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI menjelaskan hasrat mengembalik PPSMI jika PH memenangi PRU14 membuktikan Tun Dr Mahathir Mohamad belum berubah dari ideologi dan falsafah lama pentadbiran beliau.

Ab Jalil berkata, kenyataan yang dibuat Dr Mahathir itu menunjukkan pengerusi PH itu ingin meneruskan gaya pemerintahan sepertimana ketika beliau berada di tampuk kuasa.

Katanya, pembatalan PPSMI yang dibuat oleh kerajaan setelah mendapat pandangan pelbagai pihak dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Kesatuan Guru, Persatuan Pendidikan vernakular, persatuan penulis dan pelbagai badan bukan kerajaan.

BACA: PPSMI mungkin dikembalikan jika PH memerintah

"Majoriti termasuk pemimpin-pemimpin dalam pakatan hari ini adalah pendesak utama supaya kerajaan membatalkan PPSMI.

"Malahan Menteri yang membatalkannya juga sekarang ialah Presiden parti Tun Mahathir.

"Kajian universiti tempatan juga mendapati kemerosotan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran sains dan matematik selepas PPSMI dilaksanakan.Tun Mahathir tidak boleh berterusan cuba memaksa negara mengikut kehendaknya," katanya.

Dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Tertutup Dengan Pemimpin PH Pahang pada Rabu, Dr Mahathir memberitahu PPSMI kemungkinan akan dilaksanakan kembali jika PH memenangi PRU14.

Ujar Dr Mahathir, PH akan mempertimbang dan melaksanakan PPSMI jika mendapat sokongan rakyat.