YAN: Banjir kilat terbaharu yang melanda kampung di sekitar daerah Yan semalam membuatkan penduduk bertambah trauma setelah berhadapan situasi itu sebanyak tiga kali sejak tragedi kepala air dari Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati rumah penduduk terjejas teruk akibat banjir semalam yang meninggalkan kesan lumpur tebal serta kerosakan peralatan elektrik dan perkakasan rumah.

Seorang penduduk, Natirah Nayan, 60, berkata beliau trauma sehingga tidak boleh tidur malam apabila hujan lebat memandangkan rumahnya berdekatan sungai.

"Bila hujan lebat dan bunyi katak saya memang tidak boleh tidur lena. Nak tidur pun tak berani sebab takut air naik. Kali kedua air masuk tidak berlumpur pada minggu lepas, tetapi banjir kali ketiga semalam air berlumpur melimpah masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Pekan Yan, di sini hari ini.

Bercerita keadaan banjir semalam, Natirah berkata beliau menyedari rumahnya dimasuki air selepas pulang dari kerja kira-kira 7 malam, menjadikannya begitu tertekan kerana penat membersihkan rumah selepas banjir teruk pada Ogos lepas masih terasa.

"Masa itu (banjir pada Ogos lepas), kesan lumpur sangat tebal sehingga saya dan keluarga terpaksa bekerja keras membersihkan rumah, semalam jadi lagi banjir berlumpur dan kena cuci lagi. Penat yang dulupun belum hilang," keluhnya.

BACA: Selepas kepala air, banjir kilat landa kampung, taman di Yan

BACA: Fenomena kepala air di Yan berulang, kali ini mangsa terperangkap

Sehubungan itu, Natirah memohon pihak berkaitan mengambil tindakan segera melebarkan sungai berdekatan dalam usaha mengelak kejadian sama berulang demi keselesaan dan keselamatan penduduk bagi jangka masa panjang.

Sementara itu, adiknya Amzaini Nayan, 59, yang tinggal di kampung sama berkata kawasan rumahnya dinaiki air hingga paras pinggang dan air turut masuk dalam rumah selepas berlaku limpahan air longkang berdekatan ekoran hujan lebat lebih kurang sejam.

"Selepas banjir dalam tragedi kepala air bulan Ogos lepas, kami ada buat laporan kepada pihak berkaitan supaya mendalamkan longkang yang ada, tetapi masih tiada sebarang tindakan. Jadi, saya mohon pihak terbabit ambil tindakan segera untuk mendalamkan longkang tersebut," katanya.

Semalam media melaporkan 160 rumah di beberapa kampung dalam daerah Yan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku berikutan hujan lebat.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah dilaporkan sebagai berkata 100 rumah terjejas di Mukim Singkir, manakala selebihnya adalah di Mukim Yan.

-- BERNAMA