IPOH: Seorang pengadil cedera dipukul tiga lelaki tidak dikenali dalam satu perlawanan bola sepak yang diadilinya membabitkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dengan Majlis Daerah Setiu di Padang Pertanian Lekir, Sitiawan pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata mangsa yang berusia 27 tahun dan merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan kaki akibat ditendang tiga lelaki berkenaan.

"Semasa pengumuman keputusan perlawanan dibuat oleh mangsa, pihak Majlis Daerah Setiu tidak berpuas hati menyebabkan tiga suspek telah datang menyerang mangsa di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Mohamed Nordin berkata mangsa telah membuat laporan polis pada 7.26 malam, Sabtu berhubung kejadian itu dan telah mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Justeru, beliau berkata pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Norzian Yahya melalui talian 019-3905390 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, tular video menerusi laman Facebook yang memaparkan seorang pengadil perlawanan bola sepak cuba melarikan diri, namun beberapa pemain mengejar serta melakukan terjahan terhadapnya.

-- BERNAMA