TANGKAK: Seorang penganggur direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tangkak hari ini selepas dipercayai membunuh bapa saudaranya dalam kejadian di Kampung Serom 3, Sungai Mati, pagi semalam.

Perintah tahanan reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohd Fadhil Minhat berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek ditahan kerana dipercayai menikam bapa saudaranya berusia 72 tahun selepas berlaku pertelingkahan akibat perselisihan faham.

BACA: Tikam bapa saudara angkara selisih faham

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, suspek didakwa menikam mangsa di beberapa bahagian anggota badan termasuk muka dan kepala menggunakan sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter.

Polis turut merampas sebilah pisau ditempat kejadian yang dipercayai digunakan oleh suspek.

Mohd Fadhil berkata, suspek turut didapati mempunyai lima rekod jenayah serta satu rekod berkaitan dadah.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah.