BUTTERWORTH: Pengetua sebuah sekolah menengah di sini, dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya, empat tahun lalu.

Hakim Noor Aini Yusof membuat keputusan membebaskan Zainuren Mohamed selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Tertuduh, 58, juga dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selain wang jaminannya dikembalikan.

Noor Aini membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak selain pihak pendakwaan gagal memanggil saksi utama kejadian serta isu kredibiliti saksi lain.

Peguam tertuduh, E Gnasegaran ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, berkata seramai sembilan saksi dipanggil dalam kes tersebut, namun, keterangan semua saksi yang tidak konsisten menyebabkan mahkamah membebaskan tertuduh.

Sementara itu, Zainuren yang kelihatan sebak meluahkan rasa syukur selepas mahkamah membersihkan namanya.

Beliau turut berterima kasih kepada peguam serta rakan yang menyokongnya sejak awal perbicaraan empat tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat.

Pada Januari 2019, Zainuren berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki yang ketika itu berusia 11, 13 dan 14 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik khas pengetua dan asrama sebuah sekolah di sini, antara jam 4 petang hingga 11.40 malam antara 6 April hingga 10 Oktober 2018.