SEREMBAN: Seorang penghantar barang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mengedar dadah jenis syabu seberat 112.48 kilogram, 9 Dis lepas.

D. Dkrishna Roa, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Dia didakwa mengedar dadah itu di sebuah tokong di Jalan Tuanku Antah, dekat sini kira-kira 8.55 malam, 9 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh disebat tidak kurang daripada 15 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya P. Pusha manakala peguam A. Partheeban mewakili tertuduh.

Mahkamah menetapkan 21 Feb tahun depan untuk serahan laporan kimia dan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

-- BERNAMA