GEORGE TOWN:Peningkatan kes positif COVID-19 di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini sudah dijangka, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Menurutnya, jumlah kes bertambah berikutan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) meningkatkan ujian saringan dalam kalangan pekerja asing dan kontak rapat sejak hujung tahun lepas.

Tambahnya, kes baharu yang mencecah 226 kes pada Jumaat adalah hasil saringan berterusan yang dijalankan sejak 9 Disember 2020 dalam kalangan warga asing di tapak-tapak pembinaan dan kilang-kilang di seluruh negeri Pulau Pinang.

“JKNPP memaklumkan bahawa daripada jumlah 226 kes, sebanyak 185 laporan adalah daripada kluster-kluster, termasuk 110 kes membabitkan kluster terbaharu iaitu Kluster Rawa Akasia.

“Sehingga semalam (Jumaat) , sebanyak sembilan kluster aktif dilaporkan di negeri Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya lagi, jumlah kes juga bertambah kerana komitmen majikan di negara itu yang mematuhi arahan kerajaan mewajibkan saringan untuk semua pekerja asing.

“Justeru, rakyat di negeri Pulau Pinang diminta untuk terus kekal bertenang dan jangan alpa untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 dan Mukim 13,” ujarnya.

Untuk rekod, sejumlah 135,490 pekerja warga asing yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menjalani ujian saringan secara berperingkat.

“Majikan dimohon untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan serta bertanggungjawab untuk sama-sama memutuskan rantaian perebakan wabak COVID-19 di tempat kerja secara menyeluruh,” tegasnya.