PAPAR: Peningkatan peruntukan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam Belanjawan 2023 memberi lebih banyak ruang bagi usaha pembangunan kelestarian alam sekitar.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peruntukan lebih RM6.53 bilion itu, yang meningkat sebanyak 8.4 peratus berbanding tahun lepas, mampu menggalakkan amalan hijau, mempertahan khazanah semula jadi negara dan pengurusan bencana lebih efisien serta menyeluruh.

Beliau berkata peruntukan itu juga memperlihatkan bahawa Kerajaan Persekutuan memberi penekanan dalam agenda hijau di samping menyediakan infrastruktur berkualiti dan menyeluruh kepada rakyat.

"Kementerian menerima RM1.67 bilion peruntukan mengurus manakala RM4.87 bilion diberikan bagi peruntukan pembangunan. Kementerian juga akan memperhalusi setiap komitmen kerajaan secara terperinci untuk memerangi perubahan iklim serta impaknya kepada negara.

"Justeru, kementerian akan terus mengambil langkah proaktif untuk membantu rakyat seterusnya memberi impak positif kepada negara," katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Minyak dan Gas Sabah hari ini.

Nik Nazmi berkata demikian ketika diminta mengulas Belanjawan 2023 bertema 'Membangun Malaysia MADANI' yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata Belanjawan 2023 menunjukkan komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan seimbang menepati keperluan setiap pihak berkepentingan di samping mereformasi institusi serta tatakelola bagi mengembalikan keyakinan pelabur.

Nik Nazmi juga berkata lawatan dua hari ke Sabah bertujuan meninjau sendiri perjalanan beberapa projek terutama membabitkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang dilaksanakan di negeri itu.

"Kementerian sangat komited untuk meningkatkan sistem penyampaian menerusi projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

"Saya sendiri telah melawat beberapa projek di Sabah hari ini dan saya melihat ia mampu mengukuhkan sistem bekalan air dan elektrik selain berupaya memberi impak kepada ekonomi Sabah," katanya.

-- BERNAMA