PUTRAJAYA: Penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran AI Untuk Rakyat, sebagai langkah memastikan peningkatan kesedaran mereka terhadap penggunaan teknologi termaju.

Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran "Pelaksanaan program 'AI Untuk Rakyat' Dalam Kalangan Penjawat Awam' bertarikh 17 Jan 2024 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut surat edaran berkenaan, perkara itu terpakai untuk semua penjawat awam di peringkat kementerian, jabatan, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Berkanun Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Penglibatan penjawat awam dalam Program AI Untuk Rakyat dilihat berupaya meningkatkan pencapaian pelaksanaan inisiatif pendigitalan oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam," demikian menurut surat edaran itu.

Program AI Untuk Rakyat ialah program pembelajaran secara dalam talian selama empat jam dan penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran itu bagi memperoleh lencana 'AI Aware' dan 'AI Appreciate'.

"Laporan penyertaan program AI Untuk Rakyat di peringkat organisasi masing-masing hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi melalui e-mel [email protected].

"Sesalinan laporan itu juga hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui e-mel [email protected]," menurut surat edaran itu.

Berdasarkan surat yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi JPA hari ini itu, program AI boleh dicapai menerusi portal AI Untuk Rakyat melalui pautan www.ai.gov.my.

Surat edaran itu juga menyatakan sebarang pertanyaan mengenai penggunaan portal AI Untuk Rakyat boleh dikemukakan terus kepada pihak MyDIGITAL Corporation (MYDC) yang akan memberikan maklum balas sewajarnya terhadap setiap pertanyaan pengguna menerusi alamat e-mel [email protected] seperti yang tertera dalam portal itu atau e-mel [email protected] atau menghubungi talian 03-88618282.

Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan program AI Untuk Rakyat dan menyasarkan sejuta pengguna menjelang akhir tahun ini.

-- BERNAMA