Skip to main content

Malaysia

Penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Pasir Mas

kemalangan
Seorang remaja lelaki maut dalam keadaan tragis selepas tangan kanannya putus apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Lubok Gong Jeram Perdah (Jalan Rantau Panjang Lama).

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki maut dalam keadaan tragis selepas tangan kanannya putus apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Lubok Gong Jeram Perdah (Jalan Rantau Panjang Lama).

Nahas itu merupakan satu daripada dua kemalangan maut yang dilaporkan berlaku di daerah Pasir Mas pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mazlan Hassan berkata kemalangan pertama kira-kira 5 petang melibatkan sebuah motosikal Honda EX5 dan kereta Honda Jazz, mengakibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun maut di tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa dipercayai menunggang motosikal dengan dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, mangsa gagal kembali ke laluan asal menyebabkan motosikalnya bergesel dengan bahagian hadapan sebelah kanan kereta berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tubuh badan serta tangan kanan yang putus dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kes kemalangan maut kedua dilaporkan pada 8.30 pagi membabitkan seorang penunggang wanita berumur 47 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantis sebelum terbabas sendiri di Jalan Kubang Kuau (Kampung Pohon Stol), Rantau Panjang.

"Akibat kecederaan parah di bahagian kepala, mangsa telah disahkan meninggal dunia setelah bertarung nyawa selama 19 jam semasa menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat hingga menyebabkan kematian.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement