Jumlah kematian akibat nahas jalan raya di Perak setakat 12 hari Op Selamat 15/2019 dilaksanakan berkurang sebanyak 31 peratus berbanding pelaksanaan operasi sama tahun lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata sejak operasi dilancarkan 29 Mei lalu, sebanyak 20 kematian direkodkan daripada 18 kemalangan maut di seluruh negeri.

"Pada Op Selamat 13/2018, setakat 12 hari ia dijalankan sebanyak 29 kematian direkodkan daripada 28 kemalangan maut," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Ketua Polis Perak sempena sambutan Hari raya Aidilfitri 2019 di sini hari ini.

Op Selamat 15/2019 bermula 29 Mei lalu dan akan berakhir pada 12 Jun ini.

Menjelas lanjut, Razarudin berkata walaupun angka korban nahas jalan raya menunjukkan pengurangan, namun jumlah kemalangan meningkat tujuh peratus iaitu 1,683 berbanding 1,578 tahun lalu.

Razarudin berkata jalan bandaran mencatatkan kemalangan tertinggi dengan 570 kemalangan, diikuti jalan persekutuan (445); lebuh raya (283), jalan negeri (279) dan jalan lain-lain (106).

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata polis belum menerima keputusan ujian makmal terhadap serpihan tulang yang dikaitkan dengan kehilangan Mohammad Ashraf Hassan, peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019.

"Polis belum mendapat jawapan daripada patologi berkenaan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tulang tersebut, sekiranya dapat kita akan maklumkan," katanya.

Mohammad Ashraf atau dikenali sebagai Acap hilang semasa menyertai GUT 2019 pada 23 Mac lalu.

-- BERNAMA