Semua pihak perlu akur dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menyerahkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat keputusan berhubung tarikh beliau mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri.

Mereka sebaliknya perlu fokus dan menumpukan kepada pentadbiran dan segala kerja yang telah dirancang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat, penetapan tarikh penyerahan jawatan itu serba sedikit boleh menjejaskan pentadbiran.

"Sama juga macam (jawatan) Menteri Besar Perak, kalau saya umumkan sekian hari bulan saya akan meletakkan jawatan dan sebagainya, pentadbiran kerajaan untuk sesuatu tempoh itu tidak menjadi efisien.

"Rakan-rakan media pun tak nak jumpa Menteri Besar kalau Menteri Besar kata bulan depan saya nak letak jawatan. Jadi no point talking to me anymore.

"Jadi sama juga dengan apa yang dibuat oleh Perdana Menteri, beliau akan umum dan saya kira selepas ini semua orang, termasuk rakan-rakan media tak payah lagi nak menggembar-gemburkan cerita-cerita berkenaan dengan peralihan jawatan ini dan sebagainya," ujar Ahmad Faizal.

Beliau ditemui selepas merasmikan Fiesta Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Perak 2020 di RTC Gopeng pada Sabtu.

Pada Jumaat malam, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir menegaskan bahawa terpulang kepada beliau untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri ataupun sebaliknya.

Menurut beliau, setakat ini peralihan kuasa akan berlaku seperti mana ditetapkan selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Bagaimanapun, tiada masa dan tarikh yang ditetapkan untuk peralihan itu.