KUALA LUMPUR: Malaysia membantah sikap Amerika Syarikat (AS) yang menolak draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera antara Israel dan Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga kesal dengan sikap negara itu yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan dan mempertahankan pembunuhan serta kezaliman terhadap rakyat Palestin termasuk anak kecil dan wanita.

“Satu dunia menempelak dan membantah tetapi masih saya kesal dan bantah sikap AS yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan.

“Sekarang kalau kita nak menilai AS dari segi demokrasi, hak asasi dan kemanusiaan, nampaknya kita tangguh dulu.

“Oleh itu, bagi pihak Malaysia kita lahirkan rasa kesal yang amat sangat dan membantah sikap AS mempertahankan pembunuhan dan kezaliman serta pembunuhan anak tanpa sekatan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas hadir melawat Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Terdahulu AS pada Jumaat dilapor memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk menggesa gencatan senjata segera dalam perang antara Israel dan Hamas di Gaza.

Washington mematahkan desakan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata segera yang diketuai oleh Ketua PBB Antonio Guterres dan negara-negara Arab.

AS menawarkan pindaan besar kepada draf itu, termasuk mengutuk serangan Hamas yang mana Israel mendakwa ia membunuh 1,200 orang dan 240 orang dijadikan tebusan.

Perdana Menteri menambah, semua pihak mesti menghentikan pembunuhan terhadap orang awam yang tidak bersalah, bayi serta wanita.

Tegas Anwar, tiada apa-apa sebab sama sekali untuk mana-mana pihak menafikan perkara tersebut.