KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memantau 6,000 majikan yang merekodkan kemalangan tertinggi tahun lalu.

Pemantauan dilakukan melalui inisiatif Ops Cegah yang dilancarkan bermula 1 hingga 15 Mac 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,078 majikan telah dilawati Perkeso dengan hasil lawatan serta inisiatif kolaborasi strategik antara institusi dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Dalam usaha menurunkan kadar kemalangan, ia telah menghasilkan keputusan positif dengan penurunan kemalangan yang signifikan direkodkan sebanyak 83.6 peratus oleh 931 majikan,

"Sinergistik ini diteruskan menerusi Ops Cegah untuk 2024 melalui pelbagai cara (panggilan telefon, e-mel, surat, konsultasi secara one to one, lawatan ke tempat majikan, program advokasi dan banyak lagi) bagi memastikan kejadian tidak diingini terus berkurang," kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, berdasarkan perangkaan Perkeso untuk tahun 2023 sebanyak 82, 876 kes kemalangan direkodkan dengan majoriti kes adalah kemalangan industri 53.6 peratus (44,422 kes).

Manakala, 46.4 peratus (38,454 kes) adalah melibatkan kemalangan perjalanan.

"Daripada jumlah itu, 1,060 kes kemalangan maut dilaporkan dengan 29.2 peratus (310 kematian) membabitkan kemalangan industri, manakala kemalangan perjalanan 70.8 peratus (750 kematian) dengan purata kes kematian direkodkan setiap hari sepanjang 2023 membabitkan kemalangan pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja, kata Azman.

Jelas beliau, Ops Cegah yang telah dilancarkan pada 2022 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran golongan majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan khususnya dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan kemalangan kepada pekerja.