KUALA LUMPUR:Tidur Sharifah Shahira tidak pernah lena sejak beberapa hari lalu mengenangkan kesulitan yang dihadapi mangsa banjir di negeri kelahirannya, Pahang.

Sebagai seorang yang pernah melalui pengalaman sukar ketika menetap di Hulu Dong, Raub, pelakon, pengacara dan penyampai radio popular berkenaan sedia maklum kesedihan serta kesengsaraan mangsa-mangsa bencana alam itu.

Rumah ditenggelami air, perkakas kediaman dibawa arus, terpaksa berpindah ke pusat penempatan serta barangan keperluan peribadi rosak merupakan mimpi ngeri kepada yang pernah melaluinya termasuk artis berkenaan.

Lalu, kerana tidak sanggup melihat mangsa-mangsa banjir di Pahang meneruskan kehidupan sehelai sepinggang, dia terdorong untuk menghulur bantuan.

Dalam waktu yang singkat, usahanya mendapat perhatian ramai rakan artis serta masyarakat umum yang tidak putus-putus menghulur bantuan wang ringgit serta barangan keperluan asas untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Kata Shahira, antara keperluan asas yang sangat-sangat diperlukan ketika ini ialah air minuman serta pakaian dalam.

“Yang penting sangat, air, pakaian dalam, berus gigi, tuala wanita dan sabun supaya mana yang boleh cuci rumah dah boleh mula cuci rumah.

“Terima kasih kepada semua yang membantu, saya mulakan penghantaran hari ni sampai empat hari akan datang,” katanya kepada Astro AWANI.


 

Dengan memanfaatkan akaun Instagram peribadinya, Shahira mengalu-alukan bantuan daripada rakan-rakan selebriti dan peminat-peminatnya.

“Rakan artis pun ramai yang bagi bantuan kewangan, ribu-ribu ringgit dikongsi.

“Ada juga yang bagi RM10 pun kita ucapkan banyak-banyak terima kasih,” tambahnya lagi.

Shahira dalam masa sama turut menerima sumbangan pakaian terpakai untuk dewasa dan kanak-kanak daripada beberapa pihak untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.

Pada Rabu, Shahira mengagihkan sumbangan air minuman kepada mangsa banjir di tiga buah daerah di Pahang iaitu Raub, Benta dan Kuala Lipis.

Difahamkan bekalan air di daerah Raub masih terganggu akibat loji rawatan air yang dibanjiri lumpur ketika banjir yang mula melanda pada Ahad.


Selain Shahira, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin juga mengambil inisiatif menghulur bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di daerah kelahirannya, Kuala Lipis.

Bekalan keperluan asas sumbangan Siti Nurhaliza telah dikirim dari Kuala Lumpur pada Rabu ke lokasi yang dilanda musibah banjir.

BACA: Siti Nurhaliza hulur sumbangan kepada mangsa banjir di kampung halaman