ANKARA: Turkiye yang berada di ranking ketujuh dunia dalam pelancongan kesihatan dengan banyak institusi kesihatannya mendapat pengiktirafan antarabangsa, menjana perolehan sebanyak AS$2.3 bilion pada 2023 menerusi sektor itu, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan pada Isnin.

Portal "Heal in Turkiye" yang dilancarkan dengan sokongan kementerian itu menjadi lambang kepada lonjakan sektor pelancongan kesihatan di Turkiye. Dengan penyertaan 175 institusi pada masa ini , permohonan untuk menyertai portal itu kian meningkat.

Perolehan sebanyak AS$1.9 bilion dijana oleh eksport pelancongan kesihatan pada 2022 dan angka ini meningkat kepada AS$2.3 bilion dengan 1.4 juta pelancong kesihatan memasuki negara ini, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian Perdagangan menyediakan pembiayaan sebanyak AS$22.8 juta untuk menyokong operasi firma perkhidmatan kesihatan yang mengambil langkah ke hadapan menjadi pusat pelancongan kesihatan dunia, menurut kenyataan itu.

Kebanyakan daripada pelancong kesihatan itu datang dari Jerman, United Kingdom, Rusia, Azerbaijan, Kazakhstan, Turkmenistan, Uzbekistan, Afghanistan dan Asia Barat, katanya.

-- BERNAMA