KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Ahli Dewan Rakyat dan Pilihan Raya Perdana Menteri perlu dilaksanakan Akta Parlimen Berpenggal Tetap hendak dikuatkuasakan dalam sistem semasa demokrasi negara.

Pensyarah Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata pilihan raya berasingan ini perlu dilakukan kerana wujud konflik antara Akta yang bertujuan mengekalkan  Kerajaan sehingga hujung penggal Parlimen dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

“Kalau kita hendak laksanakan (Akta Parlimen Berpenggal Tetap)  juga, kita perlu ubah sistem Demokrasi Berparlimen ini dengan mewujudkan dua pilihan raya berasingan iaitu pilihan raya Parlimen untuk memilih ahli badan perundangan, dan pilihan raya lain untuk pilih Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Pertimbang cadangan Pilihan Raya Perdana Menteri, jika mahu Akta Parlimen Berpenggal Tetap - Penganalisis

 

Jelas Muhammad Fathi, Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Perdana Menteri meletak jawatan atau ditukar jika hilang kepercayaan dalam Dewan Rakyat.

“Saya percaya itu ialah elemen teras kepada amalan Demokrasi Berparlimen. Masih wujud kemungkinan dalam negara kita, seorang Perdana Menteri hilang sokongan kepercayaan. Sekiranya, kita hendak hapuskan elemen itu, kita terpaksa pinda Perlembagaan untuk memadamkan peruntukan Perkara 43(4) ini.

“Tetapi ia tetap boleh menimbulkan persoalan apabila berlaku sidang Parlimen. Umpamanya seorang Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan, tetapi kerana kita wujudkan sistem penggal tetap bagi Perdana Menteri, maka dia terus kekal mentadbir.

“Dalam situasi itu, apabila ada usul di Dewan Rakyat, mungkin usul kerajaan tidak dapat diluluskan kerana sokongan kepada Perdana Menteri sudah menjadi minoriti.

“Dalam hal ini, wujud konflik, terutamanya apabila usul-usul itu melibatkan Belanjawan dan sebagainya,”  jelasnya.

Pada 13 Januari lalu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Katanya, melalui undang-undang itu, kerajaan akan dapat memberi tumpuan penuh mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.