KUALA LUMPUR:Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran menyokong cadangan agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenar mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 caruman mereka.

Setiausaha Agungnya Mohammad Rizan Hassan berkata wang itu akan dapat digunakan sebagai sokongan kepada pendapatan tetap golongan pekerja berkemahiran yang menerima kesan negatif akibat penularan COVID-19 dalam negara.

Beliau berkata langkah itu dilihat dapat membantu golongan pekerja khasnya di sektor perkilangan yang ramai kini tidak lagi dapat membuat 'kerja lebih masa', malah ada yang terpaksa diberhentikan akibat penutupan atau pengecilan operasi kilang.

BACA: MPN minta pengeluaran dari Akaun 1 KWSP dibenarkan

BACA: MTUC saran kerajaan perhalusi cadangan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP

BACA: KWSP berdepan kekurangan dana besar jika pengeluaran Akaun 1 dibenarkan - Pakar ekonomi

Dalam satu kenyataan semalam, Mohammad Rizan berkata beliau berharap kelonggaran pengeluaran wang caruman KWSP Akaun 1 dapat diberikan bagi meringankan bebanan yang sedang ditanggung golongan pekerja berkenaan, di samping memberi sedikit motivasi kepada pencarum agar merancang sesuatu demi meneruskan kelangsungan kehidupan mereka.

Jumaat lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran dari akaun 1 caruman itu walaupun beliau sedar ada cadangan mengenainya, kerana beliau berpandangan jika dibenarkan, ramai yang akan berhadapan dengan masalah lain pula di masa hadapan.

-- BERNAMA