KUALA LUMPUR: Program Advokasi Penetapan Badan Awam Terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ke Arah Mencegah Ketirisan Dana Tahun 2023 telah dianjurkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat NAFAS semalam.

Program tersebut seiring dengan pewartaan Pertubuhan Peladang sebagai Badan Awam di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) yang berkuat kuasa 22 Mei lepas.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS Datuk Zamri Yaakob berkata pewartaan tersebut membuktikan betapa pentingnya Pertubuhan Peladang kepada negara.

"Ini umpama satu pengiktirafan yang perlu dipikul dengan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tadbir urus Pertubuhan Peladang.

"Dengan pewartaan ini juga, akan memberi satu definisi yang jelas dan tepat dalam menguatkuasakan perundangan bagi memastikan warga peladang menjauhkan diri daripada perlakuan rasuah dalam aktiviti harian perniagaan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pewartaan di bawah Seksyen 71 (1) Akta 694 itu menjadikan Pertubuhan Peladang yang merangkumi NAFAS, Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan sebagai Badan Awam.

Terdahulu, taklimat sempena Program Advokasi Penetapan Badan Awam Terhadap NAFAS Ke Arah Mencegah Ketirisan Dana Tahun 2023 telah disampaikan oleh Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Ramli Hassan.

Mengulas lanjut Zamri berkata penganjuran program tersebut membuktikan komitmen dalam memperkasakan integriti, nilai insan yang tinggi dan unggul demi menjadikan NAFAS sebuah organisasi Pertubuhan Peladang yang telus dan cemerlang.

"Sebagai agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, NAFAS memikul tanggungjawab dalam memperbaiki sosioekonomi para peladang dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memajukan industri pertanian negara," katanya.

-- BERNAMA