HULU TERENGGANU: Seorang pesakit COVID-19 maut dalam kemalangan ketika melarikan diri dari hospital, di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lelaki berusia 66 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Mohd Adli, terdahulu lelaki itu yang sedang menjalani kuarantin di Hospital Hulu Terengganu, dipercayai melarikan sebuah motosikal milik kakitangan yang diparkir di kawasan surau hospital.

"Semasa melarikan diri, dia telah menghala ke arah Wakaf Tapai dan ketika tiba di persimpangan Bukit Perpat, motosikal yang ditunggangnya telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

"Dia meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.