KLANG: Waris-waris mangsa nahas pesawat di Elmina mula tiba di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, bagi melakukan proses pengecaman mayat.

Setakat semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, kesemua 10 mayat yang terlibat dalam tragedi berkenaan telah berjaya ditemui.

Bagaimanapun, operasi pencarian akan diteruskan bagi menjejaki kemungkinan masih mempunyai baki cebisan mayat di sekitar lokasi kejadian.

Pemerhatian Astro AWANI di Jabatan Forensik HTAR mendapati wujud pergerakan keluar masuk pasukan forensik sejak awal pagi tadi.

Media juga dimaklumkan akan ada kehadiran individu kenamaan di jabatan berkenaan,  namun, perkara itu masih belum dapat disahkan.

Dalam tragedi yang berlaku petang semalam, kesemua 10 yang disahkan maut apabila sebuah pesawat terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elmina di Seksyen U16, di Shah Alam.

Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang sebelum terhempas.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai.

Setakat ini, proses bedah siasat masih berlangsung sebelum menantikan pengesahan identiti mangsa-mangsa terlibat.