KUALA LUMPUR : Polis berjaya menghalang kira-kira 400 peserta protes yang cuba memasuki kawasan Dataran Merdeka di ibu negara pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mereka hanya berhimpun di luar kawasan Dataran Merdeka sebelum berjaya disuraikan dalam keadaan aman.

"Mereka telah menyasarkan Dataran Merdeka jadi kita telah halang mereka daripada masuk ke Dataran Merdeka dan mereka telah membuat perhimpunan tersebut di luar kawasan.

"Kita telah memberi masa dan mereka telah bersurai dalam keadaan aman, kerana dalam tempoh PKP tiada mana-mana pihak yang dibenarkan untuk berhimpun walaupun dalam keadaan aman," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Sabtu.

Menurut Mohamad Zainal, hasil pemerhatian pihak polis, sebahagian besar peserta yang terlibat terdiri daripada golongan anak muda.

Polis percaya kesemua mereka merupakan individu yang sama terlibat dalam himpunan di Dataran Merdeka sebelum ini.

Mengulas lanjut, katanya isu penjarakan fizikal dikhuatiri sukar untuk dikawal sewaktu berlakunya himpunan meskipun rata-rata peserta memakai pelitup muka.

Setakat ini, polis sedang mengenal pasti individu terlibat dalam himpunan berkenaan sebelum tindakan susulan diambil.

Himpunan yang bermula jam 11 pagi itu dikatakan sebagai bantahan terhadap kerajaan.