Selepas "terkurung" selama 41 hari di dalam asrama kampus masing-masing, akhirnya pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tinjauan Astro AWANI di pusat pelepasan Universiti Malaya (UM) mendapati sebanyak 10 buah bas membawa 164 pelajar bergerak pulang ke 10 destinasi di tiga negeri (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang).

Sama seperti pelajar-pelajar IPT lain, penuntut UM ini sudah terkandas di kampus dan hostel susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak 18 Mac lalu.

Mereka antara pelajar universiti kumpulan pertama yang dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara.





Bagasi-bagasi yang dibawa para pelajar untuk pulang ke kampung halaman disanitasi.


Penuntut UM dilihat memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial sewaktu beratur untuk menaiki bas yang disediakan. - gambar Universiti Malaya

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir untuk melihat proses pelepasan kumpulan pelajar tersebut.



Beliau turut menyampaikan sumbangan bekalan makanan untuk bersahur kepada para pelajar sebelum mereka bergerak menaiki bas yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) memberikan ucapan pendek apabila hadir melihat proses pelepasan pelajar-pelajar IPT ke kampung halaman masing-masing pada Isnin malam. - gambar Univerisiti Malaya

Kesemua bas meninggalkan pekarangan Dewan Tunku Canselor, UM sekitar jam 11.55 Isnin malam.




Sementara itu, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad menyampaikan sumbangan makanan kepada 150 pelajar IPT di situ.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad menyampaikan sumbangan makanan kepada para pelajar IPT dari zon tengah yang akan berlepas pulang ke kampung halaman masing-masing, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin malam.

Proses penghantaran pulang oleh Kementerian Pengajian Tinggi melibatkan 790 pelajar IPT dari sembilan pusat pelepasan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pada Isnin malam.

Senarai IPT yang berfungsi sebagai pusat pelepasan (departure point):

a. IPTA:

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Universiti Malaya (UM)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur
(UTM KL)
Universiti Sains Islam Malaysia cawangan Kuala Lumpur (USIM KL)

b. POLITEKNIK: Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah