Kira-kira 190 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak akan bergerak pulang ke zon utara malam ini.

Exco Perhubungan Awam dan Advokasi Kesatuan Pelajar UIAM, Muhammad Amin Mubarak Mohd Junid, berkata proses penghantaran pulang membabitkan pelajar yang yang tinggal di Perlis, Pulau Pinang dan Kedah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Bagi menjaga keselamatan pelajar, semua bas yang dijangka bergerak pada pukul 9 malam ini akan disanitasi terlebih dahulu.

“Selain itu, para pelajar terlibat diminta untuk mengisi borang pengisytiharan kesihatan seperti yang dikeluarkan KPT melalui klinik kesihatan UIA.

“Selain menjaga penjarakan sosial ketika berkumpul sebelum menaiki bas, pihak universiti akan melakukan saringan iaitu pemeriksaan suhu badan sebelum membekalkan pelajar dengan topeng muka dan makanan untuk sahur,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

BACA: Ini soalan lazim mengenai pergerakan pulang pelajar yang disediakan oleh KPT

BACA: Pelajar IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti mula pulang Isnin ini - KPT


Dalam pada itu, Amin berkata seorang pegawai perhubungan ditugaskan mengiringi pelajar di dalam bas.

Difahamkan, kira-kira 3,000 penuntut UIAM tidak berkesempatan untuk pulang ke rumah semasa cuti semester Mac lepas sebelum bermulanya perintah kawalan pergerakan (PKP).

BACA: PKP: Kebajikan pelajar tempatan, antarabangsa UIAM terjaga

Penghantaran pulang pelajar ke zon utara itu membabitkan pelajar dari kampus zon tengah seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada petang Isnin.

Beliau dilaporkan berkata, sebaik pelajar tiba di lokasi 'drop-off point' iaitu balai polis atau pejabat daerah, hanya seorang ahli keluarga yang mempunyai kenderaan dibenarkan mengambil pelajar tersebut.

Bagi pelajar yang tiada kenderaan, katanya, petugas barisan hadapan akan menghantar pelajar ke rumah masing-masing.

BACA: PKP: 863 pelajar IPT mula pulang dari zon tengah ke zon utara malam ini