KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 568 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 516 individu telah dikompaun, 49 direman, manakala tiga lagi dijamin.

“Antara kesalahan dikesan ialah gagal mematuhi penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, dan merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran,” katanya menrusi kenyataan media pada Ahad.

Mengenai Op Benteng, pihak berkuasa telah berjaya menahan seramai 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki sempadan negara.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan dengan pendirian tegas akan membanteras sekeras-kerasnya tindakan pihak yang cuba memasuki sempadan negara khususnya di lorong-lorong tikus.

Dalam pada itu, berhubung pelaksanaan kuarantin wajib, seramai 67,555 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Kesemua mereka antaranya pulang dari negara Filipina, Thailand, Indonesia, dan Kemboja.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,488 individu telah diarah menjalani proses kuarantin wajib manakala 388 individu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya lagi.