KUALA LUMPUR:Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi di Johor, bermula 2 Januari sehingga 15 Januari.

Ia masing-masing melibatkan Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar serta Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir melibatkan 17 blok bangunan yang menempatkan 1,828 penghuni yang kesemuanya adalah pekerja warga asing.

"Sehingga 31 Disember 2020, KKM telah melaksanakan 338 ujian saringan dan daripada jumlah itu 212 kes positif COVID-19 telah direkodkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Ismail Sabri menambah, PKPD di Asrama Pekerja Westlite masing-masing melibat dua bangunan di Westlite1 dan lima blok bangunan  di Westlite 2.

"Ia menempatkan 4,444 penghuni yang kesemuanya adalah pekerja warga asing.

"Sehingga 31 Disember 2020, KKM telah melaksanakan 95 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 20 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam kalangan penghuni di kedua-dua asrama ini," tambah Ismail Sabri.

Dalam perkembangan sama, PKPD di Apartment Ria di Jalan Genting, Bentong disytiharkan tamat hari ini.

Setakat ini, KKM telah melaksanakan 1,042 ujian saringan dan daripada jumlah itu hanya dua kes positif COVID-19 direkodkan di apartment tersebut. 

"KKM turut mengesahkan kesemua penduduk dilokaliti ini telah disaring dan tiada lagi sampel menunggu keputusan," ujar beliau.

BACA: PKPP dilanjutkan, ini lima tumpuan kenyataan media Ismail Sabri