PETALING JAYA: Seramai 1,229 individu dijangkiti wabak COVID-19 direkodkan di lokaliti Damai Apartmen sekaligus menyumbang peratusan tertinggi di daerah itu sejak Januari hingga semalam.

Menurut Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar, jumlah itu merupakan kira-kira 40 peratus daripada 2,683 penghuni di kawasan terbabit.

Beliau berkata, hasil saringan mendapati lokaliti berkenaan mempunyai pesakit COVID-19 tahap 4 yang ramai.

2,323 individu pula telah disaring ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan 18 Julai lepas.

Hasilnya, 926 orang didapati positif manakala 303 lagi direkodkan positif wabak itu sejak Januari lepas.

"Kes yang kami kesan berada pada tahap 4 dan ini menunjukkan risiko lebih besar di kawasan ini.

"Mungkin ini disebabkan oleh pelbagai faktor dan kita akan minta kaji dan analisa, mungkin kawasan-kawasan ini mempunyai risiko tinggi," katanya.

Ekoran itu, seramai 1,279 penduduk pangsapuri berkenaan selesai menerima vaksin yang dimulakan sejak kelmarin.

Tindakan memotong gelang bagi penghuni di kawasan berkenaan yang didapati negatif turut dilakukan.

Namun bagi 892 individu yang dipercayai kontak rapat diarah untuk meneruskan kuarantin di rumah sehingga 31 Julai.

Tepat jam 12.00 tengah malam tadi, pelaksanaan PKPD di Damai Apartment, Petaling Jaya tamat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melengkapkan saringan terhadap semua penduduk di kawasan tersebut.

Tempoh PKPD Damai Apartment tamat seminggu lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 31 Julai.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood serta ketua-ketua bahagian.

Tinjauan malam tadi, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menjalankan proses membuka semua kawat duri yang dipasang sepanjang tempoh PKPD berjalan.

Pada 16 Julai, kerajaan mengumumkan empat kawasan dalam empat daerah di Selangor dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut adalah Damai Apartment, Mukim Damansara, Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Jalan Batu Nilam, Mukim Klang dan Taman Samudera, Mukim Batu.