KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Pekerja Lombong Sungai Batu, Batu Talam, Raub, Pahang berkuatkuasa 14 hingga 27 Mei.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan itu dibuat selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pada 11 Mei 2021, KKM telah mengesan kes baharu melibatkan pekerja lombong warganegara India di Lombong Sungai Batu, Batu Talam.

"Sehingga hari ini KKM telah melakukan ujian saringan melibatkan 50 orang pekerja," katanya dalam satu kenyataan harian pelaksanaan PKP.

Ismail Sabri memaklumkan pelaksanaan PKPD ini bertujuan membolehkan KKM menjalankan saringan awal serta mengesan kontak rapat untuk saringan dan pengasingan.

Selain itu beliau juga memaklumkan penamatan PKPD di  Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching dan SMK Melugu, Sri Aman di Sarawak dan di Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah.

Ismail Sabri memaklumkan, PKPD di Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching dan Kampung Skim Cocos, Kunak pula ditamatkan pada 14 Mei.

Manakala bagi PKPD di SMK Melugu, Sri Aman pula, beliau memaklumkan ia ditamatkan pada 13 April seperti yang dijadualkan.